Pages

Wednesday, March 28, 2012

..dalam bermusafir di dunia..


Bismillah..

Pernahku dengar ada sabda Nabi, umur umatku di antara 60 tahun sehingga 70 tahun. Maka dalam tempoh ini, wajarku isi dengan apa?
..........................
Alhamdulillah, aku masih tidak lupa. Allah masih tidak lupakan aku. Aku masih ingat lagi isi yang disampaikan orang alim itu. Jelas, isinya benar-benar mengetuk pintu hati ini. Ya..masih tidak aku lupa.

Tiba masa untuk aku kongsi bersama. Sejujurnya, aku bimbang. Bimbang aku khilaf dalam menyampaikan. Memang benar aku masih ingat tetapi tetap aku bimbang aku akan khilaf. Lebih-lebih lagi jika ada yang kata ini adalah pendapatku. Demi Tuhan yang Memegang nyawaku, ini semua dari orang alim itu. Aku ini cuma pacal hina yang sedang cuba untuk menempuh dunia. Aku ini cuma si jahil di bawah ulama'-ulama' mulia. Janganlah kalian menganggap aku memandai-mandai bermain kata atau ilmu yang direka-reka. Tidak. Aku cuma berkongsi sekadar yang ada. Sekadar yang ada. Kalian mesti jelas itu.
.......................................
''3 tujuan hidup ini mestilah jelas di antara kita semua agar tidak ada yang terpesong dari tujuan kita dihantar ke dunia.'' Aku mula menulis dan memasang telinga sungguh-sungguh. Begitu juga dengan jemaah masjid pada malam itu. Orang alim itu membetulkan kaca matanya seraya menyambung bicara.
''Allah SWT telah berfirman pada ayat 56 pada surah Adz Dzaariyaat yang kalian makruf bahawa mahfumnya <”Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.''> Orang alim itu menyebut nama seorang ulama' (err..yg ini aku lupa) dan menaqalkan kalam ulama' tersebut iaitu ''tuan-tuan mulia sekalian, ini adalah tujuan pertama kita dihidupkan. Kita dicipta untuk menjadi hamba. Kita dijadikan untuk taat pada Tuhan. Tiada yang lain. Tiada kerja atau tugas bagi seorang hamba melainkan patuh dan taat seluruh perintah dan suruhan tuannya.
Pada indikator yang pertama ini, aku mengurut dada. Apabila terkenangkan dosa pula, aku mula memicit kepala. Fikir bersama, pantaskah bagi seorang hamba, yang hanya menagih ihsan dan rahmat Pencipta, masih tergamak melakukan dosa dan melanggar syariat-Nya?? Wajarkah bagi seorang hamba, yang jelas tidak punya apa-apa tetapi masih mahu mempertikaikan hukum dan tetapan Yang Maha Berkuasa?? Patutkah bagi seorang hamba, yang hidup di dunia milik-Nya, masih berdegil tidak mahu tunduk pada perintah Allah Taala?? Jangan bicara tentang taqwa jika hati masih tidak redha melakukan taat dan ibadat. Jangan. Mengapa masih ada yang berasa kosong dalam hidup ini? Tidakkah tujuan pertama ini sudah cukup untuk berasa ada tanggungjawab perlu dilaksanakan? Ada perkara perlu diselesaikan,ada tugas perlu dilakukan? Ahh..jelas sekali kita hanya bermain kata.

Aku sedang bersedia untuk tujuan yang kedua. Tadi, pen ini tidak berhenti berlari. Sekarang masih bersedia untuk berlari. ''Pada tujuan kedua, Allah SWT ada berfirman “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Aku ingin jadikan khalifah dia atas muka bumi……”(sehingga akhir ayat).''Orang alim menyambung lagi,''ayat ke 30 surah Al Baqarah ini menjelaskan maksud kedua kita dihantar ke dunia iaitu menjadi khalifah pada alam ini. Jika timbul persoalan adakah kita hidup di dunia ini harus berada di atas sejadah semata-mata? Kekal di dalam masjid selamanya ? Tujuan kedua ini menjelaskan segala. Kita, masih sebagai hamba, mempunyai misi untuk imarahkan dunia. Menjadi mas'ul mencorakkan alam yang berwarna-warna. Ya..kita yang ketua. Sekali lagi aku mahu menarik perhatian semua. Jelas sekali akal telah melebihkan kita antara sekalian makhluk sehingga mampu membina tamadun. Namun, melihat dunia kini, tidakkah kalian pelik dengan diri kita semua, sebagai manusia? Adakah kita layak digelar manusia dan bangsa yang bertamadun sekiranya pengamalan moral tidak sama diadun? Bertamadunkah kita sekiranya pembangunan ekonomi yang dijana telah menghalalkan alam sekitar disiksa dan diperkosa, hanya dengan kerakusan tangan-tangan manusia? Bertamadunkah kita sekiranya senjata canggih yang dicipta telah menghalalkan kekejaman, penindasan dan pembunuhan, ke atas mereka yang tidak berdosa? Daripada isu serangan di Mumbai sehinggalah pertelingkahan Israel dan Palestin, dan kini di Syria, adakah itu yang kita katakan sebagai manusia yang bertamadun? Teringat kepada konklusi pidato oleh Syamsul Salleh pada tahun 2009 :

          Dunia pada hari ini sudah penat
          Menyaksikan masalah sosial yang semakin melarat
          Seks bebas sudah dijadikan adat
          Hubungan sejenis mula mendapat tempat
          Untuk menjadi hebat ilmu tidak lagi diangkat
          Sebaliknya corupsi yang menjadi syarat
          Adakah ia hanya perlu untuk dilihat
          Atau sebenarnya ia perlu segera diubat
          Sudah tiba masanya untuk kita meletakkan satu matlamat
          Kita hidup bermuafakat dalam kepelbagaian budaya masyarakat.


Aku menarik nafas dalam-dalam. Tangan ini lenguh sedikit, dari tadi tidak berhenti melarikan pena ini. Waktu isyak hampir masuk tetapi masih belum terlewat untuk isi seterusnya. Ketiganya ialah istimewa buat ummat nabi mustofa Muhammad S.A.W. ummat yang sebelum ini tidak dihantar untuk maksud ini, untuk tujuan ini. Hanyalah umat akhir zaman ini. Aku betul-betul tertarik. Istimewa! Daripada ayat 110 surah Ali Imran yang bermaksud “ Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia,(karena kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah……”(sehingga akhir ayat), melengkapkan 3 tujuan hidup dan maksud kita dilahirkan ke dunia. Selalunya, urusan dakwah ini hanya diletakkan ke atas bahu-bahu para ulama’, para imam, para penguatkuasa jabatan agama..mengapa? padahal telah jelas bahawa dakwah ini atas seluruh umat yang bernaung di bawah 2 kalimah. Berasa memadai cukup kerja dakwah adalah fardhu kifayah? Jangan begitu duhai saudara. Jangan. Ini kerja bersama. kerja untuk kita. Bukan untuk yang lain. Faedah dan natijahnya, untuk kita. jika sesama kita hilang berpesan-pesan kepada kebenaran, tiada berpesan-pesan dengan kesabaran maka ingin harapkan yang kafir memeluk Islam. Hah? Bagaimana? Ummat dahulu hanya disuruh beriman kemudian melakukan syariat-Nya. Namun kita Allah angkat dengan memberi suatu kerja mulia, kerja para anbiya’. Aku tidak salah dengar kawan-kawan, sememangnya itulah yang diucapkan orang alim itu. Kita diberi kerja para anbiya’. Dakwah kepada Allah. Ajak kepada yang benar. Seru pada yang haq. Ini maksud kita dihantar sebagai umat akhir zaman. Menjadi khadim kepada agama. Cukuplah dengan alasan lapukmu bahawa diri masih tidak sempurna. Siapa yang sempurna? Kita diberi kerja anbiya’ tetapi kita bukan anbiya’! Kita mesti jelas yang itu. Benar, aku tidak nafikan sememangnya kita semua bukan sempurna. Tetapi sungguh-sungguh aku tegaskan sempurna itu bukanlah syarat untuk kalian, untuk kita tinggalkan kerja ini. Dakwah. Jemaah terbentuk di seluruh dunia. Cuma tinggal kita, membuka hati dan minda, cekalkan niat di jiwa, dan mulakan langkah pertama. Ayuh! Majulah kita bersama! Maju untuk agama! Hanyasanya untuk DIA !
……………………………………
Noktah. Lalu, azan isyak pun bergema.
……………….
   

2 comments:

  1. BismiLLAHi Rahmani Rahim.

    Pergh. mantop giler. Terbaik lah hasan. Teruskan.

    bes2.

    Naqiuddin AnsaruLLAH. ~

    ReplyDelete
  2. ingin jadi macam enta lah jugak..:)

    ReplyDelete

 

Blogger news

Blogroll

About