Pages

Friday, November 21, 2014

SMKA TAHAP : Dialah Murabbi Part 2

Di SMKA TAHAP,(ketika zaman saya) dan saya percaya di sekolah lain juga, ada dua badan kepimpinan yang menunjangi pelajar ketika itu. satunya Badan Ketua Pelajar dan keduanya adalah Persatuan Agama Islam (PAI). Di sekolah lain mahsyur dengan BADAR kebiasannya. Badan Ketua Pelajar akan diketuai oleh Ketua Umum dan Ketua Umum adalah dari Tingkatan 5, manakala PAI akan diketuai dan dibarisi oleh pelajar daripada Tingkatan 4, sama ada Ketua Pelajar atau hanya pelajar biasa, yang akan melalui proses pilihan raya untuk pemilihannya.

Diringkaskan, saya antara calon untuk kepimpinan PAI ketika 2009, dan saya hanya menang majoriti di tempat 3 atau ke 4 ketika itu. Maka, untuk ke 3 dan ke 4 sudah tentu hanya Ketua Lajnah dan tidaklah jawatan Presiden.

Namun, beliau sekali lagi menunjukkan kelainannya dalam cara berfikir berbanding guru yang lain. Tiba-tiba sahaja saya dilantik menjadi Presiden meskipun tidak menduduki carta pertama dalam pilihanraya. Maka, apakah rasionalnya?

................................................

Pada tahun itu juga, SMKA TAHAP mendapat ujian dari Allah SWT apabila begitu ramai pelajar puteri terkena serangan histeria dan gangguan jin. Setiap hari ada sahaja kes histeria, ada sahaja terdengar raungan dan jeritan, bahkan adegan berlari lari ke sana sini kerap dapat ditonton.

Maka, beliau juga heronya. dan saya ada di sisinya. Pelbagai cara pengubatan telah diikhtiarkan. Saya nampak wajah beliau yang kelelahan merawat pesakit histeria ini. Beliau ketika itu saya lihat mula serius mendalami ilmu perubatan Islam ini. Sedikit sebanyak, beliau ajarkan pada kami ilmu ilmu asas dalam pendinding diri. Kami banyak dengar cerita kesufian dan tasauf pada ketika ini. Cerita yang saya pasti tiada langsung didengarkan di sekolah lain. Huhu.

Ketika itu saya ada terfikir, ini semua sebab syaitan dan jin kafir sakit hati dengan beliau. Beliau bawa nafas baru dalam tarbiyah bumi bertuah biah solehah SMKA TAHAP ini. Tahun sebelum histeria ini, beliau telah anjurkan satu program yang begitu rare diadakan. Program ini diinspirasikan oleh sebuah hadis tentang kelebihan solat berjemaah di awal waktu (menjaga solat). Program ini kami namakan solat 40 hari. Ketika itu kesemua pelajar (pelajar peperiksaan awam khususnya) telah diharamkan untuk pulang ke rumah selama 40 hari, jadual waktu sekolah berubah (berhenti waktu zohor)  dan setiap lawatan atau program di luar sekolah, bas mesti berhenti setiap waktu solat, dan setiap pelajar diharamkan lewat untuk solat, wajib untuk takbiratul ula bersama imam, apetah lagi nak masbuk.

Ketika itu, anda akan dapat lihat semua pelajar bergegas ke surau apabila terdengar azan, Lebih pada itu anda akan lihat semua lari lintang pukang ke surau apabila terdengar iqamah. Apabila ada pelajar yang gagal berbuat demikian, mereka akan sedih sesedihnya, lebih lebih lagi untuk 20 hari yang ke atas.

Ada program sebegini di sekolah anda?

Ini semua hanya daripada kepala dan idea beliau.

Saya memerhati dan menganalisis. Saya kagum, Bahkan takjub.

Dan ketika saya di tahun akhir, saya mula sibuk dengan akademik. Masa dengan beliau pun mula terbatas.

Tiba masa saya bagitahu, siapakah gerangan beliau ini?

Ya, tidak salah dan tidak syak lagi,

Beliau adalah murabbiku AL Fadhil AL Ustaz Hairul Amizam Bin Mohd Hamka Hafizahullah Taala.

Beliaulah ustaz muda yang bertanggungjawab mengeluarkan kami dari kegelapan kepada cahaya.


Beliaulah ustaz yang memberi nafas baru pada Tarbiyah sekolah.

Beliaulah ustaz yang menjadi inspirasi untuk semua insan yang ingin menjadi anak muda yang berguna

Beliau juga yang sanggup berulang alik sejauh 20 minit perjalanan kereta semata kerana anak muridnya.

Beliau juga yang sanggup tidak menyambung pelajarannya (MASTER) semata ingin menjaga bapanya yang sakit.

Beliau juga yang sanggup tidak berkahwin (not yet) juga semata ingin menjaga bapanya.

Beliau yang tidak pernah menuntut bayaran (claim) pada pihak sekolah untuk semua kelas tambahan yang beliau adakan. (padahal menjadi hak atas beliau)

Beliau yang tidak pernah dibenci pelajarnya meskipun segarang mana setegas mana beliau pada pelajar.

Beliau yang menjadi kerinduan untuk setiap bekas pelajarnya apabila keluar daripada sekolah.

Beliaulah..murabbi kepada jiwa yang cintakan tarbiyah..

Ya, Dialah Murabbi.
……………………………………..

Keupayaan saya menulis tentang beliau, bukanlah disebabkan saya anak murid yang paling rapat dengan beliau. Saya yakin, jika ada nama yang disebut beliau dalam ucapannya pada junior kami, sudah pasti nama seperti Hanif, Anas dan pimpinan lainnya yang akan menjadi contoh.

Beliau telah menunjukkan kepercayaan yang terlalu tinggi pada saya ketika melantik saya menjadi Presiden PAI, namun tergamak saya mensia-siakan. Sejak itu, saya hanya pandang beliau dari jauh.

Masih memerhati dan menganalisis. Saya gagal menjadi anak murid yang terbaik untuk beliau, padahal beliau telah pun menjadi guru paling terbaik untuk saya sepanjang keberadaan saya di sekolah.

Itulah penyesalan yang tidak sudahnya. Saya akhiri zaman saya dengan penamat yang mengecewakannya. maka tidak lagi saya menjadi pilihannya. Ya, sudah pasti saya sudah memohon maaf dan beliau telah pun memaafkan, bahkan mungkin telah lupakan pun. 
Tetapi..hmmm 

Hampir 5 tahun sudah berlalu. Pagi ini,(ketika mula menaip tajuk ini di Part 1) saya terjaga daripada tidur dan terduduk, memikirkan mimpi yang saya baru lalui tadi. Saya mimpikan beliau.

Betapa saya rindukan ustaz. Ustaz sudah pasti tidak ada idea betapa saya mengagumi dan menyayangi ustaz.

tidak banyak gambar beliau, dulu beliau tidak mengizinkan kami bergambar dengannya. huhu 

Tidak ada idea, pastinya.



Hasan Fikri
506, Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah.
Mesir.


Wednesday, November 19, 2014

SMKA TAHAP : Dialah Murabbi Part 1

Beliau tiba di SMKA TAHAP seperti seorang hero. Hero yang kacak tentunya. Mengapa hero?

SMKA TAHAP adalah sekolah tarbiyah. Semua pelajar sekolah agama boleh mengakui mereka berada di sekolah tarbiyah, namun tetap SMKA TAHAP sudah pasti lain daripada yang lain. Dari Form 2 saya telah terlibat dengan kurikulum (bukan kokurikulum) sehinggalah Form 5 dan dalam tempoh itu saya berpeluang melihat sekolah lain (khususnya sekolah agama), Sebab itu saya berani cakap SMKA TAHAP memang lain dari yang lain. Mengapa lain?

........................................................

Ketika 2006, saya berada di Tingkatan 1, dan beliau berada di tahun kedua di sekolah ini, telah berlaku sesuatu yang dahsyat dalam lipatan sejarah SMKA TAHAP. Bumi biah solehah ini telah terpalit dengan sejarah hitam sebegini angkara segelintir pelajar (tidak layak digelar pelajar saya kira) yang tidak tahu bersyukur. Natijahnya, guru tarbiyah yang sangat disayangi ketika itu telah dinasihatkan pindah ke sekolah lain (dipindahkan). sudahlah tahun sebelum itu, seorang lagi guru tarbiyah yang juga cukup disayangi telah bertukar ke sekolah lain. 
Form 1 (kelas saya), 2006, SMKA TAHAP.

Maka bersedihlah abang abang dan kakak kakak yang cintakan tarbiyah. Bahkan mereka mengutuk diri sendiri kerana tak berupaya menghalang kejadian itu. SMKA TAHAP telah kehilangan matahari dan sinarnya. Soalnya, adakah kegelapan mula menyelubungi?

............................................................

Beliau hadir.

Hadir tepat pada masanya. Menguatkan lagi rasa hati ini sememangnya beliau adalah kiriman Allah buat bumi bertuah ini. Hero.

Tahun 2007, beliau mula memegang jawatan warden asrama. dan ketika itu saya telah pun memulakan tugas sebagai pengawas (di SMKA TAHAP Pengawas dipanggil Ketua Pelajar)

Saya waktu itu masih merangkak-rangkak untuk memahami makna tarbiyah. Saya lebih banyak memerhati daripada bertindak. Saya cukup suka memerhatikan beliau, dengar cerita-cerita beliau dan menganalisis setiap tindakan beliau. Beliau jelas, memang lain daripada guru yang lain. Pendekatan beliau pada para pelajar cukup berstrategis. Beliau tahu apa yang beliau mahu dan apa yang beliau lakukan. Seperti guru tarbiyah kebiasaannya, beliau amat garang dan tidak teragak langsung untuk menjatuhkan hukum, namun hukumnya seorang guru adalah rahmah buat pelajar.

Tahun pun berganti, dan saya pun semakin besar. Umur besar, dan tanggungjawab pun mula besar. Tahun 2008 menyaksikan perubahan. Ketika itu beliau betul betul bersemangat untuk melihat SMKA TAHAP mencapai piawai yang beliau mahu. Barisan pimpinan dikerah dan dibentuk sebaiknya agar menjadi saf yang kukuh dan utuh. Kuliah maghrib adalah medan utama beliau mendidik dan mengajar seisi sekolah betapa pentingnya ada asas agama dalam diri sebab dunia luar ibarat neraka bagi orang beriman. Dunia hari ini dunia fasya dan munkar. Apakah mungkin untuk kita berjaya mengharunginya jika tidak punya asas agama yang kukuh?

Saya masih memerhati dan menganalisis.

Pemilihan kitab (kuliah maghrib) untuk menjadi silibus tarbiyah kami juga dipilihnya dengan sebaik mungkin. Antaranya kitab karangan murabbi ummah zaman ini, Sheikh Habib Ali Jufri Hafizahullah yang bertajuk Maalim Suluk Lil Mar'ati Muslimah, juga kitab karangan Motivator yang mahsyur, Amru Khalid yang bertajuk Inni Ja'ilun Fil Ardhi Khalifah. anda tanyalah pada setiap insan yang pernah belajar di SMKA TAHAP, Apakah yang mereka rindukan tentang sekolah ini? Pasti dijawab mereka,

Mahu dengar kuliah beliau.

:)
............................................

Ketika saya fikirkan beliau, sebenarnya saya dihantui penyesalan yang tidak sudahnya. Sudah puas saya menyumpah diri ini, mengapa saya begitu tergamak untuk mengecewakan beliau sebegitu.

Masa itu tahun 2009, dan saya Form 4 . . .


 Bersambung...


 

Blogger news

Blogroll

About