Pages

Monday, May 21, 2012

16 MEI : Buat Mereka yang Mendidik.


Bismillah..


.........................


Lokasi : Tadika Kemas Kampung Tok Jalai, Jitra, Kedah.
Masa : 1998 - 1999


“Aduh.aduh.aduh..sakit cikgu..sakit cikgu…aduuhh….” Terjengket-jengket Fikri menahan kesakitan.


Puas hati cikgu tu dapat memulas perut budak ni. Nakal sangat. Suruh diam makin bising. Suruh duduk dia berlari. Memang uji sabar betul.


Budak itu terdiam apabila kena cubit. Itu kali kedua dia dicubit hari ini. Ya, hari ini.


Buas.


                                                               …………………..


“Ayahnya dapat tukar ke sana. Biasalah kan, kerja askar ni memang pindah-randah je kejenye. Ingatkan kekal lama kat Kedah ni tapi rupanya tak. Mujurlah si Fikri nie dah tamat tadika.” Ibu menjelaskan.


Cikgu itu terdiam tiada respon.


Dia mencangkung, agar ketinggiannya sama dengan budak Fikri itu. Dia memegang kedua-dua bahu Fikri dan merenung matanya.


Fikri waspada. Dalam fikirannya, kenapa pula cikgu ni, aku tak buat bising pun hari ini. Mana ada aku kacau orang hari ini. Malah, sesi tadika sudah mula cuti sejak 2 minggu yang lalu dah pun.


Perlahan-lahan, air mata yang bergenang tumpah juga akhirnya. Spontan cikgu itu menarik Fikri ke dalam dakapannya. Dia menangis sambil memeluk budak kecik yang botak itu. Dia menangis. Betul, cikgu itu menangis.


Dan Fikri, dia tersengih-sengih memandang ibunya.


………………………………


Lokasi : Sekolah Rendah Kebangsaan Tuanku Fatimah, Bentong, Pahang.
Masa : 2000 – 2005


Hampir saja Hasan menjerit apabila tiada lagi namanya disebut dalam senarai murid yang mendapat 3 A dan 4 A. Itu bermakna, dia berjaya mencapai 5A ! dan benar, setelah beberapa kawannya yang turut sama mencapai 5A, maka nama dia pula diumumkan untuk ke pentas menerima sijil.


Dia bangun, dan mula menuju ke pentas. Kawan-kawannya ada yang menepuk-nepuk bahunya mengucapkan tahniah.


Ketika di tangga pentas, dia melalui guru Bahasa Inggerisnya.


“Tahniah Hasan! Awak Berjaya!”


“Aik? Cikgu ni suka? Siap ucap tahniah lagi??” Kaget Hasan dibuatnya.


Mana tidaknya, satu kelas 6 Adnin tahu yang dia sering dimarahi guru Bahasa Inggeris itu. Dia dan kawan baiknya, Haziq. Dia ditukarkan tempat duduk pun disebabkan guru Bahasa Inggerisnya itu yang mengadu pada guru kelas lantaran perangai Hasan dan Haziq yang memang menyakitkan hati. Bagi Hasan dan Haziq, waktu bahasa Inggeris adalah ‘waktu bahaya’. Cikgu mana pernah senyum pada mereka berdua. Apatah lagi nak bergurau dan sebagainya.


Sebab itu Hasan sangat teruja apabila melihat Guru Bahasa Inggerisnya itu gembira sedemikian.


………………………………………..


Lokasi : Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang, Jerantut.
Masa : 2006 – 2010


Ini sekolah tarbiah. Maka tiap saat berada di dalamnya, malah setiap apa yang berada dalamnya, adalah guru, adalah cikgu.


………………………………………………


Lokasi : Kaherah, Mesir.
Masa : 2011 – Saatku menaip entry ini.


Jika anda berada di sini, baru anda tahu mengapa saya tidak tulis nama Universiti saya belajar kini. Betapa Mesir ini sebagai lapangan ilmu. Betul, memang tidak cukup jika diletakkan nama Universiti sahaja.


………………………………………………


Selamat Hari Guru! Tanggal 16 Mei ini sememangnya hari istimewa buat mereka yang bergelar pendidik.
Sejujurnya saya tidak tahu mahu tulis apa untuk zahirkan penghargaan saya pada golongan pendidik ini. Mereka itu anugerah! Mereka itu tidak wajar jika saya hanya mengucapkan,


“terima kasih cikgu sebab mengajar saya selama ini.”


Tidak cukup sekadar itu.


Jasa dan pengorbanan mereka hanya Yang Maha Mulia layak membalasnya. Saya ini tidak mungkin akan dapat membalas apa-apa walaupun sedikit. Memang ramai guru yang beritahu saya, cukup dengan pencapaian kejayaan saya dan saya menjadi orang yang berguna untuk melihat mereka gembira, tetapi saya masih berasakan itu semua hanya perkara kecil jika mahu dibandingkan dengan keteguhan mereka menjadi seorang pendidik.


Sudahlah..saya betul-betul tidak tahu cakap apa.


………………………………………..


Cuma, saya mahu beritahu para pendidik sekalian sesuatu.


…………………………………..


Saya mahu beritahu, yang kalian itu adalah anugerah buat saya.


Saya tiada ayat.


Saya sayang kalian.


Terima kasih? Hmm..


Ada tak perkataan yang lebih tinggi martabatnya untuk digunakan untuk golongan guru ini?


Cikgu, jika ada perkataan dan kalimah yang boleh menunjukkan bahawa betapa saya menyanjung tinggi pengorbanan kalian, pasti saya akan gunakan!


Tetapi, demi Tuhan Yang Memegang Jiwa saya, tiadalah apa yang boleh saya gunakan untuk menggambarkan ‘terima kasih’ saya pada kalian. 


Tiada.


Demi Allah, tiada.


Jadi, buat tenaga pengajar yang pernah mengajar saya sejak dari bangku tadika sehinggalah kerusi Universiti ini,


sila padamkan ayat yang terakhir dalam wallpaper ini ye..:)

SELAMAT HARI GURU !






Jumpa kalian di syurga ya! ^^





Anak didikmu,


Muhammad Hasan Fikri Bin Sayujan
Cairo, Egypt.


jika aku menjadi aku, sebab ada kamu wahai guru..


with love.





Saturday, May 19, 2012

Cuma Minta Kalian Fikir.


Bismillah..


Sekarang, sudah masuk pengakhiran Mei dan menghampiri Jun. Di Malaysia, bagi kanak-kanak Lepasan SPM, mereka sedang pamerkan bermacam-macam reaksi ketika ini. Ada yang melompat kegembiraan,

"MasyaAllah!! Al-Azhar?? Mesir?? Alhamdulillaaaaahhh!!!"

"What?? Seriously?? United Kingdom?? Thanks GOD!!!"

"Maaaakkkk!! Adik dapat masuk UIA!!!"

Tidak dinafikan, ada yang bersedih.

"Hurm..aku mintak masuk USIM, tapi dia bagi aku UPM. Haih…"

"Dia dapat 7 A je kot, kenapa lepas masuk UM? Aku yang 17 A nie UITM pon tak sangkut..warghhh.."

"Untung la korang dapat jugak..aku nie SeGI pon reject..sobss.."

Juga, ada yang termenung.

"Matrikulasi? Alahai…"

"Asasi UIA ke Tamhidi USIM? Hmm…."

Namun, entry yang ini bukan berbincang fasal kanak-kanak ini semua. Tetapi kita akan bercerita tentang ‘kisah sedih’ malah saya anggap sangat menyayat hati kita semua. Kisah tentang seORANG robot.

Saya ingin bertanya kepada kalian khususnya golongan ibu bapa. Ketika kalian menghantar kami anak-anakmu ke sekolah dahulu, apa yang ada di dalam hati kalian?

Soalan susah? Okay, saya tukar.

Ketika kami anak-anakmu memberitahu kalian para ibu bapa bahawa kami mahu jadi seorang doctor, kami mahu jadi seorang peguam, kami mahu jadi seorang arkitek dan macam-macam lagi bidang kerjaya yang kami sebutkan di hadapan kalian dahulu, ketika itu, apa yang ada di dalam hati kalian?

Susah lagi? Tidak mengapa, biar saya jawabkan.

Ketika itu kalian beritahu kami begini,

"Bagus anak mak, belajar rajin-rajin tau, biar tercapai cita-cita itu."
"Haa..macam tu la anak ayah, nanti adik boleh jaga ayah."
"Jadilah apa-apa pun nak, asalkan hidup kamu bahagia."

Tersenyum kami mendengarnya. Kalian ibu bapa sangat menyokong kami. Kami rasa kuat!

Sekarang, zaman pun berubah. Persaingan menjadi sangat hebat. Kerjaya seorang doctor pun dikatakan menjadi rebutan dan terhad. Mereka yang lepasan Universiti pun menganggur. Bukan sahaja diploma, hatta yang memegang ijazah terkial-kial mencari kerja.

Ketika ini, maka bermula ‘kisah sedih’ yang menyayat hati itu. Kisah seorang robot yang betul-betul dirobotkan.

"Adik, dengar cakap mak nie, adik masuk IPG tu, dah komfem dapat kerja, siap dapat elaun lagi."
"Kakak, jangan degil, masuk je jadi nurse tu, jangan lawan cakap ayah nie."
 :Abang, ini untuk masa depan abang jugak, dunia sekarang mana boleh ikut minat dah, mesti ikut peluang yang ada."

Ini yang dikatakan sokongan beberapa tahun dahulu?

Si anak tekun belajar, malah sangat tidak sabar untuk terjun dalam bidang yang diminatinya. Sejak kecil lagi, dalam diari telah terlakar,

"Aku seorang ustazah nanti!"
"Aku adalah bakal pakar motivasi!"
"Tidak sabar mahu belajar di UIA !"

Tetapi ketika tiba selangkah lagi untuk masuk, dihalang keras pula oleh kalian, ibu bapa.

Mengapa? Sebab fikirkan masa hadapan?

Serius, itu kelakar.

Hanya dimomokkan dengan lambakan pelajar yang menganggur maka minat, cita-cita dan harapan anak-anak turut lebur.
Hanya sebab statistic yang dikeluarkan manusia, maka janji Allah yang telah menetapkan rezeki setiap manusia, dipandang sebelah mata.
Hanya kerana perihal rezeki masa hadapan yang belum pasti, maka perihal peluang hari ini dibiarkan sahaja.
Sedihnya.

Ibu, saya tak nafikan memang masuk Universiti ini tiada jaminan kerja. Tetapi bolehkah saya belajar bidang yang saya betul-betul minat? Jika saya susah mendapat kerja nanti, sekurang-kurangnya saya tidak menghabiskan 4 5 tahun di IPG itu dengan penuh keterpaksaan. Jika saya tidak dapat kerja nanti pun, saya tidak akan menyesal malah masih akan gembira kerana saya telah pakar dalam bidang yang saya minat.
........................................

Err..saya nak mencelah sikit, adakah mendapat kerja itu punca rezeki?

……………………………
Entry ini memang agak celupar bagi seorang anak seperti saya. Siapa saya, sebagai seorang anak, untuk persoalkan keputusan ibu bapa? Memang. Sememangnya saya tidak wajar untuk persoalkan. Apa yang saya harapkan daripada tulisan saya ini adalah mereka yang bergelar ibu bapa itu faham dan jelas bahawa keputusan yang melibatkan masa hadapan anak mereka itu bukan boleh diputuskan oleh rasa hati mereka semata-mata. Mereka melahirkan seorang manusia bukannya robot. Manusia ada perasaan dan kehendak yang tersendiri bukannya robot yang mesti diprogramkan.

Benar, ibu bapa mempunyai hak membuat keputusan untuk anaknya, tetapi tidak bolehkah sekurang-kurangnya kalian dengar rasa hati anak-anakmu ini. Malah, saya rasa, jika bicara tentang hak, adakah kalian sebenarnya sedang menunaikan hak atau sekadar gunakan hak?

Ingat, ini bukan sekadar minat dan cita-cita seorang anak, tetapi melibatkan masa dan umurnya. Tell you what, 4 atau 5 tahun, adalah jangka masa yang sangat-sangat panjang untuk melakukan perkara yang kita kena paksa.

Kalian boleh tolak dan tidak bersetuju dengan tulisan saya ini. Tetapi saya ada satu permohonan.

Saya mohon…

Kalian fikirkan semula.

:)

Itu sahaja.





p/s: mesti ada yang pelik, mak ayah saya tidak marah ke saya tulis begini? Saya senyum.

Jika bukan disebabkan contoh yang mereka tunjukkan iaitu sentiasa berbincang dan meminta pandangan anak-anak, saya tak akan mampu tulis begini pun. Mereka yang ajar saya tentang toleransi itu bukan sahaja patut ada pada si anak. :)













Saya sayang mereka. ^^


Tuesday, May 1, 2012

mode exam : SAYA MINTA MAAF.


(JANGAN SALAH FAHAM, INI BUKAN ENTRY YANG TERAKHIR INSHAALLAH)
TIDAK DI DELETE MOGA-MOGANYA



Bismillah…


Pintu Gerbang Kuliah 



Akhirnya, Universiti Al-Azhar telah menetapkan tarikh Peperiksaan Akhir bagi Kuliah Al-Ulum Al-Islamiah Lil Wafidin adalah pada 12 Mei 2012 sehingga 5 Jun 2012.

Namun, bagi tahun Tamhidi (Persediaan) adalah sehingga 19 Mei 2012 sahaja memandangkan madah (subjek) yang kami pelajari hanyalah 4 madah sahaja.

………………………..

Saya pernah ada dengar orang buat teguran, mengapa MAAF itu hanya mahsyur ketika musim peperiksaan sahaja?

Saya setuju dengan teguran tetapi tidak menidakkan tradisi ini.

Memang tidak wajar jika kita menangguhkan maaf dan meletakkan waktu tertentu untuk bermaafan. Sangat tidak wajar. Seolah-olah maaf itu hanya sebagai salah satu item bagi si pesalah. Maksud saya, jika kita buat salah. Secara automatik dalam fikiran kita telah merencana untuk minta maaf. Ini bagus! Namun, jika kita sehingga berfikir,

“takpe kot, nanti nak exam aku mintak la maaf…”

“Hari raye pon da nak dekat, so tunggu raye jela baru mintak maaf”

Jika begini, maaf anda itu tidaklah ada ertinya melainkan ucapan semata-mata.

Namun begitu, tetap saya ingin tegaskan bahawa ketika masuk ke musim peperiksaan, marilah kita  bermaafan dan sama-sama meminta doa. Jika ibu di kejauhan, telefon. Minta restu. Begitu juga dengan ayah.

“Mak, ampunkan ee mak. Ampunkan anak emak ini jika mak terseksa dengan rindu dalam jiwa. Demi Allah, ee juga begitu mak. Ampunkan anak emak ini jika mak menitis air mata lantaran kebimbangan mak pada ee. Demi Allah, ee baik-baik sahaja di sini. Ampunkan anak emak ini jika mak menangis mahukan ee dalam pelukan mak. Demi Allah, itu sahaja impian ee sekarang."

Jangan fikir, jika kamu jauh, kamu tiada salah pada ibu.

Kepada ayah : tangisan ayah di KLIA tempoh hari sudah cukup sebagai pembakar semangat ee kat sini. Di telefon, di skype, kita kurang bercakap. Tetapi dalam hati nie, sudah penat ee menangis rindu untuk peluk ayah. Teringin sangat nak dengar lawak ayah………………yg mengarut tu..hihi

Seriously, pakcik Sayujan tu AWESOME! ^^

TUNTASNYA, mohonlah restu, mohonlah maaf. Dari dulu saya telah tanamkan dalam diri saya. Ketika bertungkus lumus mengulangkaji, membaca, mengira..itu antara kamu dengan yang lain. Minta tips daripada guru, minta kawan ajarkan, minta kakak semak semula dan lain-lain lagi. Tetapi ketika melangkah masuk ke dalam dewan peperiksaan, ketika itu, hanya Allah sebagai sandaran. Hanyalah Allah.

Ada yang study sehingga tidak tidur malam, ketika ujian, Allah tidurkan. Ada yang pakai payung takut panas dan hujan, ketika ujian, Allah demamkan. Dan banyak lagi kes yang saya pasti, kamu semua sendiri yang saksikan.

Jadi, sebelum saya serahkan laptop ini kepada sepupu saya di sini (nak focus study la nehh kirenye), SAYA, ahli keluarga anda, pelajar anda, sahabat anda, kawan anda, classmate anda, roommate anda dan kenalan anda yang bernama Muhammad Hasan Fikri Bin Sayujan ini…

…memohon ampun dan maaf dengan sebenar-benar permohonan malah saya merayu untuk anda memaafkan segala salah silap saya sama ada dari perbuatan, perkataan dan perasaan saya yang mungkin telah berlaku buruk kepada anda. Ada yang secara sedar dan yang saya lebih takut, tanpa saya sedar. Ada yang saya sengaja, dan yang saya lebih takut, tanpa saya sengaja.

Minta maaf!

Please, maafkanlah saya.

Demi Tuhan yang Memegang jiwa saya, saya benar-benar minta maaf.

Dan..

Doakanlah ketenangan dan kejayaan saya dalam peperiksaan akhir ini.

Doakanlah saya..

Please, doakanlah.







Sebagai manusia, saya menyayangi anda,
HASAN FIKRI.
Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah,
Mesir.

  


Friday, April 20, 2012

Live from EGYPT : Surat Adik Buat Kakak


(maaf, entry ini tidak diletakkan sebarang gambar)
pastikan soundtrack blog berfungsi !

Bismillah..

.....................................................

Hati…

Janganlah sedih. Kita terus yakin ya..

bukankah Allah telah melafazkan pada Surah An-Nur ayat ke 26 yang bermaksud
" (Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan- perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang- orang (yang jahat) mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.

Wanita yang tunduk itu memujuk lembut.

Hati..

Tahukah engkau, betapa tabahnya Siti Sarah menunggu anak pemberian Tuhan. Dia wanita tercantik di zamannya, malah berkahwin pula dengan seorang Nabi yang sangat mulia. Begitu juga dengan Nabi Zakaria, begitu mahu seorang anak namun tidak juga dikurniakan-Nya.

Adakah mereka menafikan takdir Pencipta? 

Adakah mereka lemah berputus asa?

Wanita yang tunduk terus itu memujuk hatinya.

Tidak wahai hati. Mereka tidak begitu. Tidak sama sekali. Bahkan mereka lebih kuat berteguh pada jalan-Nya. Bahkan mereka lebih rapat pada Yang Menentukan ini semua. Bahkan wahai hati. Maka, janganlah kau bersedih. Kita terus yakin ya..

Wanita yang tunduk itu tersenyum palsu. Jelas benar dia menyembunyikan duka. Matanya berkaca.

Hati..

Allah sedang berbahasa dengan kita. Tinggal kita yang mahu mencari hikmah di sebalik semua. Hanya kita sahaja perlu menerima dengan jiwa yang besar. Kita terus kuat ya..

Bibir wanita yang tunduk itu digetap sedikit. Perkataan demi perkataan yang keluar semakin menghirisnya. Mata yang bergenang dari tadi akhirnya tumpah jua airnya.

Hati..

Isk..isk.. janganlah menangis hati. Kita kena kuat. Kita jangan sedih. Kita mesti kekal percaya. Isk..isk.. wanita yang tunduk itu tidak dapat menahan lagi gelodak jiwa yang disimpan sekian lama. Tersedu dia menzahirkan tangis. 

Isk..isk…
Isk….isk…..dia terus menangis.

Tangannya yang ditelekupkan di muka diangkat perlahan. Pipinya basah sekali dengan air mata. Air jernih yang tidak henti-henti turun laju membasahi pipi. Wanita yang tunduk itu menadah tangan, masih dalam tangisan yang sangat meruntunkan hati.


iskk...iskk...

Ya Allah..
Kau sahaja tempatku mengadu. Telah puas aku pujuk hati ini ya Robbi. Aku tidak mahu bersedih lantaran apa yang Kau uji kini. Di bangku sekolah lagi, aku menjaga diri. Sangat menjaga. Kau saksikan bukan? Tiada seorang lelaki pun aku benarkan masuk dalam hati ini. Tiada seorang pun. Aku kekalkan kesucian hati ini buat dia yang bergelar suami. Aku yakin pada-MU Robbi.

Iskk..iskk…tangisannya semakin menjadi-jadi. 
Terlalu sedih mengenangkan nasib diri di hadapan Illahi.
Ya Allah !! Aku tidak pernah langsung mengotorkan perasaan ini. KAU sahaja sebagai saksi. Aku tutup hati malah memagar diri ini dari mana-mana lelaki. Aku yakin KAU akan sampaikan jua dia padaku nanti. Aku yakin kisah cinta kami akan bermula. Aku yakin dia juga bersedia seperti aku bersedia. Aku yakin dia akan menjemputku dengan penuh rasa cinta. Aku yakin itu ya Robbi! Aku yakin dia juga sedang menanti..iskk…iskk… aku yakin!

Isk..iskk…berhamburan air matanya. Mengadu dengan penuh syahdu. Jiwa ini seperti mahu pecah dengan harapan yang menggunung pada Yang Maha Berkuasa. 

Iskk..iskk..

Wanita yang tunduk itu mengesatkan air mata. Merah matanya dengan tangisan hiba. Begitu runtun jiwa membawa hati yang lara di hadapan Tuhannya.

Keyakinannya sangat teguh pada Illahi. Malah keyakinan itu telah sekian lama dipasak dalam nurani. Membuahkan prinsip yang takkan goyah sesekali.

Itulah dia, wanita yang tunduk.

Allah….

…………………………………….

21 APRIL TIBA !!!

hehe...

Eh jap2..kenapa semua nie? Eh..muramnye alahai...? Kenapa nie weh??

Amboihh..sampai berkerut-kerut muka tuh..mengapa nie?

Apa?

Kisah di atas?

Laa….

Alahai lembutnya hati korang nih…sedih ye…alala…dah2..jangan sedih-sedih..jom gembira bersama saya! (sambil lompat bintang sekali)

Dah la tu…kesat air mate tu..nah..(sambil hulurkan tisu)

Hmm..hadirin sekalian. Hari ini, ketika entry ini dipostkan. Malaysia telah pun masuk 21 April. Itu bermakna, hari ulangtahun kelahiran kakak saya! Her birthday! ^^ (sambil bertepuk tangan)

CT Hafizah Binti Sayujan.

Kakak ketiga dalam keluarga. 

Berfikir tentangnya sudah pasti saya tersenyum. Dia, adalah wanita yang sangat saya hormat. Sangat saya sayang juga.(sambil tabik spring 3 kali)

Bila saya berbicara tentang wanita yang menjaga diri, yang memegang prinsip, yang memagar diri, yang sangat berhati-hati, sudah tentu akan terbayang wajahnya. Demi Tuhan yang memegang jiwa saya, kalian pasti akan dapat melihat ini semua jika mengenalinya.

Tapi, saya tersenyum bukan sebab itu. Hehe..
saya tersenyum apabila terkenang dia mula berleter.

Jika dia berleter kepada saya, syarahnya sepanjang tembok China!

Fikriiiiiiii !!!

Dan mulutnya akan berhenti hanya setelah dia puas hati. -__-

Haha..alahai rindunye aku kat die….

Dia sangat menjaga saya. Sering dia cuba membaca mesej-mesej dalam handset saya. Jika jumpa yang tidak enak, dia akan terus menegur dan kembali…

err..berleter. =,=”

Sebelum saya terbang ke Mesir ini, dia menghulurkan sebuah buku putih.

“Buka buka ini setelah tiba di sana nanti. Tulislah segala ilmu yang kamu dapat..”

Itu pesannya.

Pada helaian pertama, ternyata ada kata-kata nasihatnya. Ketika saya membaca, seolah-olah wujud suaranya di telinga saya. Dia nasihatkan tentang penghormatan hidup ini. Bahawa semalam itu telah jadi kenangan dan esok pula hanya harapan, tetapi hari yang sedang saya jalani ini adalah kenyataan. Berbuat baiklah! Itu erti hidup ini..

Kita hidup untuk berbuat baik. Sangat lembut dia menasihati.

Okay, saya menangis gak kang...haih~

Kak De..di hadapan seluruh pembaca-pembaca blog ee nie…(walaupun baru 14 follower..-___-)
Maka ee mengucapkan Selamat Ulangtahun Kelahiran buat yang kesekian kalinya. Bertambah lagi satu angka dalam lembaran hidup Kak De dan bertambah dekat jarak masa pertemuan dengan Ilahi. 
Di kejauhan ini, ee mendoakan yang terbaik buat diri Kak De. Sungguh, hanya Allah jadi saksi betapa adikmu ini merindukanmu. Hanya Allah tahu betapa adikmu ini tersiksa dengan jarak yang memisahkan kita. Hanya Allah tahu betapa hati ini mahu mendengar nasihat dari suaramu. Hanya Allah yang tahu. Dan ee mohon, Allah beritahumu..

 “ ee sayangkan kak de…”

Jaga dirimu. Hari Lahir ini, ee tidak mahu beri hadiah sebaliknya ee yang mahu minta hadiah.



Hadiahkanku abang ipar ya ! ^___^

Selepas membaca ucapan ini lihatlah bintang dan langit, dan pandangan kita akan bertemu.

Semoga Allah Merahmatimu..
wahai wanita yang tunduk…



Adikmu,
Muhammad Hasan Fikri Bin Sayujan
Cairo, Egypt



okay, ada gambar juga. -___-

Wednesday, April 18, 2012

antara UJUB, RIAK dan TAKABBUR ?


Bismillah..

Bimbang. Tiada apa lagi yang perlu dibimbangi bagi mereka yang ‘bercakap’ melainkan dia mengotakan segala apa yang dibicara. Berat. Tetapi apa yang ada, wajib aku sampaikan jua. Semoga Allah redha dan terima.

………………………………

Sedang aku ber’tweet’ di laman sosial twitter, maka terjatuh aku dalam ruang diskusi tentang takabbur dan riak. Dan dia yang bernama cahaya kehidupan itu meminta aku untuk memanjangkannya ke dalam blog ini. Aku cuba ya.

……………………………..

 Okay, ayat normal semula ! hihi.. saya suka mulakan tulisan saya dengan penggunaan ayat formal dan mempunyai unsur-unsur Saifuddin Jalis sedikit. Kenal Saifuddin Jalis? Tidak? Dia merupakan watak ciptaan penulis kegemaran saya, Ramlee Awang Murshid. Saifuddin lebih mahsyur dengan gelaran Laksamana Sunan, Pendekar Bertanduk Dua. Cewahh..eh? kenal pulak? Ohh..kena sebut Laksamana Sunan baru kenal? Okay-okay..noted! :D

Maka, mari mula.

Saya terangkan melalui bahasa saya dan bukanlah bahasa kitab. Jadi jangan semak tulisan ini dengan kitab-kitab, cukup ambil pointnya sahaja.

Bezakanlah takabbur dengan riak. Dari segi bahasa sahaja telah lain maksudnya. Apa yang selalu menjadi kekeliruan kita, ialah untuk membezakan 3 penyakit hati ini iaitu ujub, riak dan takabbur. Ya, terdapat perbezaan antaranya.

Jika yang dibicarakan adalah berkenaan dengan UJUB, maka kita perlu untuk memahami bahawa ujub ini timbul dalam hati. Ujub ini adalah lintasan-lintasan kecil yang membisikkan bahawa ‘aku sedang berbuat baik’, ‘aku hebat mampu berbuat sedemikian’, atau ‘wah, baik juga rupanya aku.’

Selalunya, ujub ini hadir sebegitu.

 Maksud saya, ujub hadir ketika kamu melakukan kebaikan.

Tiba-tiba, minggu itu kamu berterusan menjadi orang pertama yang masuk ke surau pada waktu Subuh, hati-hati sahabat, bimbang akan hadir ucapan hati sebegini,

“wah, mantap jugak aku rupanya, direct bangun paling awal nie.”

Maka, ujub telah menjelma.

Juga, hati ini akan cenderung untuk memuji diri sendiri terhadap kelebihan yang ada. Ketika mempersembahkan jawapan di papan putih, ketika memberi ucapan di atas pentas, ketika azan dan menjadi imam, ketika mengalunkan bacaan Quran malah ketika kamu menaip status di Facebook atau tweet di Twitter.

“eh, ramainya like status aku, hebat juga ya, baru 5 minit sudah 100 like.”

“bukan calang-calang, setiap tweet aku pasti saja ada yang retweet atau favourite”

Itu, ujub.

Beza pula dengan RIAK. Riak merupakan perbuatan kamu yang menunjuk-nunjuk. Secara mudahnya, ketika kamu melakukan amal atau apa sahaja, ketika itu hadir dalam hati niat untuk menunjuk. Boleh rasa sendiri.

Bermakna, riak ini akan terjadi apabila wujud seseorang yang lain. Tidak akan terjadi riak jika tiada siapa yang kita mahu tunjuk, contohnya kamu hidup di sebuah pulau yang hanya kamu di situ.

Kamu melangkah masuk ke dalam surau, baru sahaja ingin melabuhkan punggung untuk duduk tiba-tiba masuk ustaz warden, sebagai Ketua Ibadah, nanti apa pula dia cakap, jadi kamu pun mula solat sunat Rawatib.

Nampak? Ayat “nanti apa pula orang cakap” yang timbul itu sudah cukup untuk membuktikan kamu hanya menunjuk-nunjuk.

Orang yang riak, selalunya tidak istiqomah. Apabila ada faedah, dia akan buat, apabila tiada, dia tidak buat. Maksud saya di sini, jika dia dapat tunjukkan pada orang, dia akan buat, jika tidak, dia tidak buat. Contoh di asrama, selalunya dia akan turun surau awal pada waktu Subuh, tetapi minggu itu, seluruh ahli biliknya pulang ke kampung, dia bukan setakat bangun lewat, malah hanya solat Subuh di biliknya sahaja.

Itu, riak.

Tetapi kena ingat, pada orang istiqomah pun riak ini berlaku.

Contoh di surau lagi, setiap malam Khamis akan diadakan qiamullail, setakat ini kamu masih tidak terlepas lagi tetapi minggu itu kawan ajak tidur di rumahnya. Kamu menolak semata-mata tidak mahu terlepas qiamullail itu. Maklumlah, seluruh penghuni tahu kamu masih tidak terlepas lagi. Soalan saya, tidak boleh qiamullail di rumah kawannya saja? Jika dia beralasan di rumah kawannya payah nak bangun dan tiada ‘skuad’ yang mengejutkan seperti di asrama, itu lain cerita. Tetapi, selalunya dia bangun sendiri dengan menguncikan jam dan dia mampu sahaja bangun awal walau di mana pun, mengapa tidak tidur sahaja di rumah kawan dan qiam sahaja di sana?

Jelas riak di situ.

Sekarang, takabbur. Ini juga perbuatan hati, dan merupakan penyakit. Seperti ujub, cuma takabbur ialah berasakan kamu adalah lebih hebat dari lainnya. Ujub, kamu puji diri sendiri. Takabbur, kamu bandingkan kamu dengan yang lain dan tinggikan dirimu. Lagi advance!

Dan juga lagi teruk.

 Kamu lihat, semua orang adalah lebih rendah darimu dan kamu lebih mulia.  Bayangkan, kamu merupakan seorang pemidato yang hebat malah pernah menjuarai di peringkat kebangsaan. Satu masa, kamu menghadiri kursus pidato bersama kawan-kawan yang baru sahaja berkecipung dalam bidang ini. Jika wujud rasa dalam hati bahawa kamulah yang paling hebat, maka takabbur mula menguasai. 
Natijahnya, kamu berasa tidak puas hati apabila orang lain yang menjadi ketua dan bukannya kamu. Kamu berasa, bukankah kamu yang memiliki pencapaian yang paling tinggi antara yang lainnya? Mengapa dia pula yang ketua? Ketika ada yang menegur kamu bahawa kamu salah pada sekian-sekian, kamu melenting dan tidak mahu terima malah tergamak berasa yang menegur itu memandai-mandai. Maklumlah, kamu peringkat kebangsaan, dia baru nak mula.

Itu, takabbur.

Juga berlaku takabbur ini jika terdapat perbezaan bangsa, warna kulit dan negara. Di Malaysia, di negara sendiri, tiba-tiba seorang warga asing dari Bangladesh menegurmu kerana memotong barisan di ATM. Kamu pekakkan telinga dengan anggapan jijik dan selekehnya orang yang menegurmu itu.

Jelas benar takabbur di situ.

Takabbur ini sememangnya rasa dalam hati. Jika yang tebal sangat tu, mungkin sehingga ucap dengan lisan.

”kau siapa nak tegur aku? Kau baru ijazah, aku dah Master kot..”

Sudahlah meninggi diri, merendahkan orang pula.

TUNTASNYA, ini semua penyakit hati. Gambaran yang saya tulis ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa buruknya sifat ini dan pelakunya. Belum lagi saya bawa ayat-ayat Al Quran berbentuk amaran dan hadis-hadis Nabi berupa ancaman kepada mereka yang bersifat dengan sifat-sifat ini.

Jujurnya, saya berasa saya ini sampah ketika membaca hadis nabi tentang ketiga-tiga penyakit hati ini. Syaitan itu sangat licik. Kadang-kadang tanpa sedar bahawasanya kita telah bersifat dengan ujub, riak, takabbur dan penyakit hati yang lainnya.

Ketika melangkah masuk untuk beribadat, kamu mula berasa kamu hebat. Itu UJUB. Masuk pula seorang kawan, kamu sengaja lamakan ibadat itu atau zahirkan ibadat itu dengan suara atau sebagainya, itu RIAK. Ketika melihat kawan itu tidak ibadat seperti kamu, kamu berasa kamu lebih hebat dan mulia darinya, itu TAKABBUR.

Sia-sia sudah ibadatmu itu.

Malah, Allah dan Rasul melaknatnya.

Entry ini, cukup saya kenalkan sahaja. Untuk akibat dan cara mengatasinya, mungkin di lain masa. Banyak lagi sebenarnya. Bagaimana guru para malaikat boleh menjadi makhluk paling hina dan terusir juga guru agama, para syuhada serta qari Quran diheret masuk ke dalam neraka. Semuanya bahana penyakit hati ini.

'Moga saya, moga saya, moga saya dan kalian dapat mengamalkan apa yang baik, dan meninggalkan apa yang buruk. 



HATI - HATI JAGA HATI ! ^^


Wallahu Taala ‘Ala ‘Alam.


 

Blogger news

Blogroll

About